"A good Muslim is one who doesn't let his errors DEFINE who he is, but use them to REDEFINE who he is"

Sifat atau watak seorang kawan terhadap kawannya
Pernah suatu hari, telah dikhabarkan kisah dua orang sahabat yang sangat indah.
Semenjak keduanya bersahabat, mereka tidak pernah bergaduh, masing-masing amat menjaga hati masing-masing. Indahnya lukisan kehidupan mereka, jika hendak dikhabarkan 1001 kisah cinta, langsung tak tertanding dengan kisah persahabatan mereka.

Allah menaungi ukhwah kedua-dua sahabat ini, langsung tak terusik oleh syaitan & iblis. Mereka berkongsi kisah suka & duka, tawa & tangis bersama, susah & senang, sakit & sihat bersama & segala sesuatu mereka sandarkan kepada Allah SWT. Hinggalah pada suatu hari, di tepian pantai, sedang keduanya asyik bercerita kisah hidup masing-masing, maka sahabat pertama bertanya kepada sahabat kedua;

“Semoga Allah memberkatimu wahai sahabatku sehati sejiwa. Persaudaraan kita bukan suatu kebanggaan, bukanlah suatu keseronokan. Orang ramai mendoakan kita. Tumbuh-tumbuhan & segala jenis makhluk tunduk sujud kepada kita. Sehingga ke hari ini, apakah kamu masih mengaku aku sebagai sahabat seperjuanganmu?”

Sahabat kedua menjawab, “Semoga Allah memberkati mu jua. Tanpa Allah siapalah aku, aku bersyukur dengan nikmat pemberian Allah yang tak ternilai di hadapan mataku ini. Dia utuskan kamu untuk menyinari hidupku, memadam kesan-kesan hitam dalam hidupku, menyiram aku dengan curahan air cinta kepada Yang Satu. Masakan tidak aku mengaku kau sebagai sahabat seperjuanganku. Inilah tekadku, aku amat bersyukur ke hadrat Allah kerana dikurniakan sahabat sepertimu..”

“Sesungguhnya iblis & syaitan amat benci pada kita. Mereka benci kerana kita berkasih sayang kerana Allah. Sampai sekarang, mereka masih gagal. Namun mereka tak pernah berputus asa. Jarum kedengkian, hasad, fitnah, tuduh-menuduh, riya’ & takbur serta ‘ujub akan mereka cucuk supaya dapat memisahkan persaudaraan kita.
Apakah kau tidak takut wahai sahabatku?” Tanya sahabat pertama.

Dengan tenang, sahabat kedua menjawab, “InsyaAllah, aku yakin dengan peliharaan Allah SWT kepada kita hingga ke hari akhirat nanti. Semoga ditetapkan hati kita tidak lain hanya kerana Allah SWT, serta dijauhi dari sifat-sifat tersebut. Na’uzubillah…”



Maka kedua-dua sahabat itu pun berdoa bersama-sama. Memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Segala penduduk langit & bumi mendoakan kebahagiaan mereka berdua.

Ditakdirkan pada suatu hari, sedang kedua-dua sahabat itu bersiar-siar di sebuah taman, sambil bertasbih memuji Allah SWT, mengagungkan kebesaran Allah SWT, tiba-tiba mereka terlihat sebuah pohon kurma yang lebat buahnya. Telah diketahui bahawa taman itu adalah taman yang tidak bertuan milik & pengunjung bebas memetik buah-buahan di situ.
Maka sahabat kedua memohon izin kepada sahabat pertama untuk pergi memetik buah kurma tersebut. Maka dipetiknya beberapa biji sahaja, sekadar mengisi perut yang lapar.

Maka keduanya menikmati buah kurma tersebut dengan penuh kesyukuran. Tiba-tiba sahabat pertama bersuara, “Maafkan aku sahabatku. Baru sahaja aku teringat bahawasanya pohon ini bertuan milik. Kita telah makan buah kurma milik orang lain. Adalah suatu dosa bagi kita memakan sesuatu yang bukan halal bagi kita tanpa kita meminta izin terlebih dahulu. Salah aku kerana terlambat memberitahumu.”

“Benarkah? Jikalau begitu, kita telah dikira mencuri.
Astaghfirullahal'azim, aku merasa bersalah kerana memetik buah itu.
Apa harus kita buat? Patutkah kita memberitahu tuan punya milik pohon tersebut akan kesalahan kita?” Sahabat kedua bertanya.

“Tidak, aku tak mampu memikirkan jalan penyelesaian buat masa sekarang.
Hakikatnya memang salah aku. Aku merasa berdosa yang teramat sangat.” Keluh sahabat pertama.

“Jangan risau sahabatku fillah. Allah bersama orang-orang yang benar. Kita harus berlaku jujur. Mari kita berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kita. Moga tuan milik pohon ini menghalalkan kita kerana memakan buahnya. Aku rela bekerja seumur hidup jika disuruhnya begitu, demi menghalalkan apa yang telahku makan ini.
Aku lebih takutkan seksaan Allah SWT.” Sahabat kedua memujuk sahabat pertama.

Namun, sahabat pertama enggan menurut sahabat kedua.
Dia berasa amat bersalah kerana gagal memberitahu perkara sebenar tentang pohon tersebut.

“Bagaimana jika tuan pemilik pohon ini enggan menghalalkan buah yang telah kita makan ini?”
Tanya sahabat pertama.

Sahabat kedua termenung seketika. Dia mulai ragu-ragu.

“Aku mencadangkan kita tak perlu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Aku khuatir dia enggan memaafkan kita. Maka seluruh darah & daging kita tidak halal di sisi Allah.”
Sahabat pertama memberi cadangan.

“Kalau begitu, sama sahajalah pengakhirannya. Lebih dahsyat lagi Allah murka atas perbuatan kita.
Dia melihat perbuatan kita, Dia tahu yang kita telah melakukan maksiat dan cuba menyembunyikannya.
Aku amat takut. Seeloknya aku mencadangkan kita berjumpa tuan pemilik pohon ini. InsyaAllah dengan rahmat Allah, tuan pemilik pohon ini memaafkan & menghalalkan apa yang telah kita makan.
Aku tak mahu tergolong dalam kalangan orang yang dilaknat oleh Allah SWT di akhirat kelak nanti.” Sahabat kedua meyakinkan sahabat pertama.

“Kalau begitu, engkau pergi seoranglah. Aku tidak mahu. Sebagai sahabatku, harap kau jangan laporkan kepadanya yang aku turut sama makan buah kurma itu ya.
InsyaAllah suatu hari nanti aku akan cuba bertaubat kepada Allah SWT atas kesalahanku ini.
Mudah-mudahan Dia mengampuni aku. Aku belum cukup kuat berjumpa dengannya,”
kata sahabat pertama.

Sahabat kedua amat terkejut dengan pendirian sahabat pertama. Lalu dia berkata,
“Astaghfirullah, bukan dengan cara begini, Allah akan ampunkan dosa kita wahai sahabatku.
Kelak akan dipersaksikan di akhirat kelak akan perbuatan terkutuk kita!”

“Ya aku faham. Tapi aku merasakan inilah jalan penyelesaian terbaik. Kita bertaubat sahaja.
Allah akan mengampuni dosa kita. Pintu taubatnya sentiasa terbuka bagi hambaNya yang bertaubat kepadaNya.” Sahabat pertama masih enggan.

“Wahai sahabatku, janganlah kita dihina di hadapan Allah kelak atas perbuatan kita ini. Aku sebagai sahabatmu tidak sanggup melihat sahabatku ini menjadi penghuni neraka hanya kerana hal yang kecil sebegini. Islam mengajar kita supaya berlaku jujur!” tegas sahabat kedua.

“Ah, pedulikan! Aku tidak mahu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Lagipun sama sahaja kalau dia enggan menghalalkan apa yang telah kita lakukan ini.
Kau mahu pergi, kau pergilah, aku tetap dengan pendirianku! Biarkan aku! Kalau kau rasakan aku tidak layak menjadi sahabatmu kerana ‘dosa’ku pada pandanganmu, maka biarkan aku!”
Pengakuan sahabat pertama ini membuatkan sahabat kedua terkejut.
Dia tidak menyangka bahawa kata-kata tersebut akan keluar dari mulut sahabatnya itu.


Tiba-tiba sahabat kedua menangis. Maka dengan perlahan dia berkata kepada sahabat pertama,
“Sungguh aku tak sangka dengan pendirianmu ini. Kau telah berubah, astaghfirullah, syaitan benar-benar telah mempengaruhimu. Aku masih ingat kau pernah bertanya kepadaku suatu ketika dahulu, apakah aku tidak takut akan jarum-jarum syaitan yang akan memisahkan persaudaraan kita?
Aku meyakinkanmu dengan jawapanku. Aku yakin dengan peliharaan Allah.
Tapi, memang benar apa yang dikatakanmu. Kau telah berubah.
Jarum syaitan telah menusuki tubuhmu. Aku sangat kecewa dengan perubahan dalam dirimu.”

“Kau sudah tidak memahamiku lagi. Kau benar-benar bukan sahabatku.
Maka terpulanglah, pergilah kau kepada tuan si pemilik pohon.
Aku dengan pendirianku ini. Mulai hari ini, kita bukanlah sahabat sejati,” kata sahabat pertama.

“Baiklah, pergilah engkau dengan sikap engkau itu. Aku benar-benar kecewa.
Jika benar kau membenciku, maka tinggalkanlah aku di sini.
Aku tak sanggup melihatmu dengan pendirianmu ini. Aku tak rela sahabatku berubah jadi begini.
Kau telah mendustai kata-katamu suatu ketika dahulu.
Mulai hari ini, aku terima permintaanmu, kita bukan lagi sahabat.
Pergilah engkau bertaubat, semoga Allah mengampuni engkau,”
maka sahabat kedua menangis. Lalu sahabat pertama beredar dari situ.
Kebencian merajai segenap hatinya….




Di dalam sebuah gua, terdengar tangisan teresak-esak seorang lelaki. Suara laksana orang sedang berdoa.


“Ya Allah, memang benar apa yang aku alami. Sahabatku benar-benar membenciku kerana kejahatanku. Dia benar-benar sudah tidak mengakuiku sebagai sahabatnya.
Apabila aku berlagak seperti seorang pengkhianat & aku berlakon seperti seolah-olah aku menafikannya sebagai sahabatku, maka memang benar dia menolakku. Sudah ku duga bahawa dia mengakui aku sebagai sahabatnya hanya kerana kebaikan yang ada padaku.
Apabila aku jahat, maka aku bukan lagi sahabatnya. Dia tidak berusaha mendapatkanku. Ku harapkan dia mengejarku, namun dia menghukum aku sebagai pendusta pula.
Ya Allah, namun begitu, aku menghalalkan apa yang telah dimakannya, akulah pemilik pohon kurma itu, ampunilah dosa sahabatku ini.”
Sahabat pertama tunduk sujud dan menangis dalam gua yang gelap gelita itu.

Jangan benci orangnya,
tapi bencilah dosa yang dilakukannya.
Kelak dia mungkin bertaubat & jadi lebih baik dari kita 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...