APA KATA HATI?

"Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan''
                                                                                                                                      -Imam  Syafie- 


Merawat Hati yang Rosak

     Hati atau roh adalah raja dalam 'kerajaan diri'. Justeru, hati perlu menjadi sasaran pendidikan kita. Gagal mendidik dan membaiki hati bererti gagal mendidik dan memperbaiki manusia. Hati mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Apabila akal menjadi penasihat, maka hati pun baik. Apabila nafsu menjadi penasihat, maka raja di dalam diri manusia itu juga menjadi jahat.

     Apabila hati jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Sebaliknya, apabila hati baik, baiklah seluruh anggota badan. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, baiklah seluruh aggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya itulah hati".



Hati Sebagai Raja

     Hati sebagai raja dalam kerajaan diri mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir(yang ada). Dia adalah raja yang luar biasa, yang ditaati oleh rakyatnya. Malaikat memimpin  hati dengan benda yang datang daripada Allah. Syaitan pula memimpin hati  dengan benda yang datang daripada iblis.

     Walaupun hati manusia cuma satu, tetapi kerana pelbagai rangsangan datang, maka timbullah pelbagai rasa dan kesedaran. Contohnya, apabila berjaya, hati menerima rangsangan. Dia akan berasa  sama ada bangga, riyak, ujub atau ego  dengan kejayaan itu, ataupun rasa syukur dan dalam masa yang sama berasa malu kepada Allah. Pada waktu itulah hati ini akan sedar. Sesungguhnya, ia terpulang kepada setiap individu.

     Jika hati tidak sedar dia sudah berbuat baik, ia adalah sifat terpuji kerana tidak berbangga-bangga dengan kebaikan  itu. Tetapi, jangan pula sampai hati tidak bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya juga kita dapat membuat kebaikan. Perkara paling buruk ialah apabila hati tidak sedar ia jahat. Hati tidak sedar, rangsangan yang datnag membuatkan ia rasa bangga dan ego.

     Lebih berbahaya apabila hati yang jahat disedari sebagai hati yang baik. Tuan empunya hati tidak sedar kejahatannya sampai bila-bila dan tidak cuba berubah dengan bertaubat. Bahkan terus berbuat jahat kerana merasakan dirinya dalam kebaikan. Rasa hati adalah atau boleh diibaratkan seperti  benih yang ditanam oleh Allah kedalam hati manusia. Cuma sama ada ia subur ataupun terbantut, bergatunglah pada usaha manusia itu sendiri.

     Contohnya, dalam sebuah kebun, benih jagung sudah ditanam. Terpulanglah kepada petani untuk menyiram, membaja dan menjaganya. Sekiranya benih itu baik, tetapi tidak dijaga, mungkin ia mati sebelum tumbuh ataupun terbantut. Begitu juga dengan hati. Fitrah baik manusia apabila tidak disuburkan dari awal, kemungkinan mati akhirnya. Sebaliknya, jika awal-awal lagi sudah disuburkan, ia akan berakar umbi dalam hati sehingga mudah hati itu menjadi baik. Apabila sudah terlewat baru hendak disuburkan, agak sukar kerana ia umpama benih terbiar lama tanpa disirami, dibajai dan dijaga.






WALAU SEKECIL ZARAH

WALAU KECIL

     Kita selalu menganggap bahawa sesuatu yang "kecil" sebagai sesuatu yang remeh dan tidak mendatangkan apa-apa kesan jika melakukannya, baik ia berupa kebaikan ataupun keburukan. Mungkin kita lupa bahawa sesuatu yang besar itu diawali oleh sesuatu yang kecil.

     Ada ketikanya amal kebaikan yang kecil, yang hanya dipandang sebelah mata, diberi penghormatan besar dan keselamatan bagi kebaikan manusia. Ada ketikanya pula, amalan yang hebat itu dibangga-banggakan, malah menjadi sebutan dan pujian ramai, tetapi tidak memberi manfaat, bahkan kadang-kadang mengundang fitnah pula.

     Demikian juga peringatan daripada Rasulullah s.a.w. agar tidak memandang remeh sesuatu dosa, sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, kerana jika berkumpul dalam diri seseorang ia akan dapat membinasakannya". (Riwayat Ahmad dan al-Tabrani)

KISAH DARIPADA RASULULLAH S.A.W.


     Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling(bergembira) di dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia". (Riwayat Muslim)

     Ia mengenai kisah seorang lelaki yang sedang melalui jalan yang biasa digunakan oleh kaum Muslimin. Ketika melewatinya, dia melihat sebatang dahan yang berduri dan bergayut seakan-akan hampir jatuh. Bimbang apabila memikirkan dahan itu akan menimpa orang ramai, lelaki itu berusaha memotong dahan tersebut dan menjauhkan dari jalan. Oleh kerana tindakannya itu, Allah s.w.t. mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga. Dia menikmati kemewahan dan kesenangan yang tiada bandingannya.

     Mulianya seseorang itu dilihat pada amal soleh dan kebaikan yang dia lakukan, walau di mana dan dalam apa-apa keadaan sekalipun. Semakin banyak kebaikan yang dilakukan, maka semakin tinggilah nilai kemuliaannya. Sebab itulah Allah menggalakkan kita supaya berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan sebagaimana maksud firman-Nya:
     "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya(sendiri) yang ia menghadap kepada-Nya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu". (Surah al-Baqarah 2:148)

WALAU SEBESAR ZARAH


    Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan)nya pula". (Surah al-Zalzalah 99:7-8)

KISAH KEKASIH ALLAH

Dijamin Syurga
      Said bin Zaid bin Amru bersama isterinya Fatimah binti Khattab antara kumpulan awal yang memeluk Islam. Pada masa itu, usianya belum mencecah dua puluh tahun. Fatimah binti Khattab  adalah adik perempuan kepada Khalifah Islam kedua, Umar bin Khattab.

     Mereka merahsiakan pengislaman mereka daripada pengetahuan orang lain  termasuk abang Fatimah yang terkenal dengan kebenciannya pada Islam. Umar adalah penentang Islam yang hebat pada ketika itu. Fatimah takut kepada abangnya. Setiap kali ada pengajaran di rumah al-Arqam  bin Abu Arqam , mereka akan keluar secara diam-diam supaya Umar tidak mengetahuinya.

     Pada suatu hari, Umar datang ke rumah Fatimah. Dia mengetuk pintu rumah Fatimah dengan kuat. Pada masa itu, salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w., Khabbab ada bersama-sama mereka.  Ketukan pintu rumah Said semakin kuat bersama jeritan Umar dari luar rumah. Mereka mula bersa cemas. "Siapa?"

      "Umar!" jerit Umar dengan kuat.

     Mereka  bertiga semakin gentar. Khabbab disuruh bersembunyi disebalik pintu . Fatimah cepat-cepat mengemaskan lembaran yang tertulis ayat-ayat al-Quran kedalam poket jubahnya.Manakala Said membuka pintu. Bagaikan singa lapar, mata Umar menyala-nyala melilau dan merenung Said dan adiknya.

     "Apa yang kamu bualkan tadi?" 

     Said tidak terus menjawab soalan abang iparnya. Beliau memandang Umar. "Mengapa kamu marah-marah?" Said bertanya.

     "Bagaimana aku tidak marah! Aku mendapat berita bahawa kamu berdua menjadi pengikut Muhammad!" bentak Umar. 

     "Bertenanglah. Sekiranya kamu gunakan akal fikiranmu  yang waras, saya  pasti kamu juga turut menjadi pengikut  Muhammad". Said menjawab dengan tenang.

    Belum sempat Said menghabiskan kata-kata, Umar merentap leher bajunya hingga Said hampir lemas. Fatimah tidak senang melihat suaminya dikasari lalu cuba masuk campur. "lepaskan suamiku. Dia bukan seorang hamba. Dia bebas memilih agama yang disukainya!" Fatimah mula menjerit.

     Fatimah cuba melepaskan suaminya daripada dikerjakan oleh abangnya. Tiba-tiba, lembaran Al-Quran yang disembunyikan oleh Fatimah  di dalam poket jubahnya terkeluar. Suasana menjadi tegang. Fatimah berusaha mengambilnya semula apabila abangnya cuba mencapai. "Ini adalah lembaran kitab yang mulia. Hanya dapat disentuh oleh orang yang suci sahaja!".

    Kata-kata Fatimah membuatkan kemarahan Umar kembali membuak-buak. Dirampasnya lembaran di tangan adiknya dengan kasar. Said dan Fatimah tidak dapat mempertahankan lagi. Lembaran al-Quran berada di tangan Umar.

     Perlahan-lahan Umar membuka lembaran itu dan membaca apa yang tertulis di atasnya. "Dengan nama Allah yang maha  pengasih  dan maha penyayang".

     Bergetar tangan Umar  ketika dia membacanya. Degup jantungnya semakin kencang. Umar jadi tidak menentu. Dia segera menyerahkan semula lembaran mulia itu kepada Fatimah. "Tidak!Aku tidak mahu membacanya!Aku tidak mahu membacanya".

    Melihatkan kemarahan Umar semakin reda, Fatimah memberanikan diri  dan memainkan peranannya menyusun kata. "Bacalah. Fahamilah apa yang terkandung dalam ayat ini".

   Umar tidak berkata apa-apa mahupun membantah. Tenungan matanya tidak setajam tadi. Fatimah mendekati abangnya. "Semoga Allah melembutkan hati abangku dan mengurniakan petunjukNya".

     Perlahan-lahan Umar membuka semula helaian yang dihulurkan oleh adiknya. Bibirnya berbisik membaca. "Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha penyayang. Kami tidak menurunkan al-Quran ini supaya kamu mendapat kesusahan. Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang taat kepada Allah. Diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu tuhan yang maha pemurah yang bersemayam di atas Arasy. Miliknya semua yang ada di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang ada di dalam tanah".

     Cahaya wajah Umar mula bersinar. Tidak kelihatan lagi wajah bengis umpama singa lapar seperti mula-mula dia masuk ke rumah Said. "Alangkah indah dan manisnya ucapan ini. "Alangkah agungnya Tuhanmu!" Umar memuji.

   Umar membacanya sekali lagi dengan rasa rendah diri dan kelembutan hatinya. Fatimah mendekati suaminya. "Nampaknya cahaya petunjuk mula meresap ke dalam hatinya."

     Semasa pemerintahan Umar sebagai pemimpin Islam yang menggantikan Abu Bakar, Said bin Zaid yang dikenali sebagai Abul A'waar dilantik sebagai pemerhati  bersama anak Umar, Abdullah bin Umar. Said bin Zaid hidup sehingga berusia 73 tahun. Dia meninggal di Madinah. Namanya tercatat dalam senarai sepuluh orang yang dijamin syurga.


  • Dipetik dari buku Indahnya Cinta Kisah-kisah Kekasih Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...