Dijamin Syurga
Said bin Zaid bin Amru bersama isterinya Fatimah binti Khattab antara kumpulan awal yang memeluk Islam. Pada masa itu, usianya belum mencecah dua puluh tahun. Fatimah binti Khattab adalah adik perempuan kepada Khalifah Islam kedua, Umar bin Khattab.
Mereka merahsiakan pengislaman mereka daripada pengetahuan orang lain termasuk abang Fatimah yang terkenal dengan kebenciannya pada Islam. Umar adalah penentang Islam yang hebat pada ketika itu. Fatimah takut kepada abangnya. Setiap kali ada pengajaran di rumah al-Arqam bin Abu Arqam , mereka akan keluar secara diam-diam supaya Umar tidak mengetahuinya.
Pada suatu hari, Umar datang ke rumah Fatimah. Dia mengetuk pintu rumah Fatimah dengan kuat. Pada masa itu, salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w., Khabbab ada bersama-sama mereka. Ketukan pintu rumah Said semakin kuat bersama jeritan Umar dari luar rumah. Mereka mula bersa cemas. "Siapa?"
"Umar!" jerit Umar dengan kuat.
Mereka bertiga semakin gentar. Khabbab disuruh bersembunyi disebalik pintu . Fatimah cepat-cepat mengemaskan lembaran yang tertulis ayat-ayat al-Quran kedalam poket jubahnya.Manakala Said membuka pintu. Bagaikan singa lapar, mata Umar menyala-nyala melilau dan merenung Said dan adiknya.
"Apa yang kamu bualkan tadi?"
Said tidak terus menjawab soalan abang iparnya. Beliau memandang Umar. "Mengapa kamu marah-marah?" Said bertanya.
"Bagaimana aku tidak marah! Aku mendapat berita bahawa kamu berdua menjadi pengikut Muhammad!" bentak Umar.
"Bertenanglah. Sekiranya kamu gunakan akal fikiranmu yang waras, saya pasti kamu juga turut menjadi pengikut Muhammad". Said menjawab dengan tenang.
Belum sempat Said menghabiskan kata-kata, Umar merentap leher bajunya hingga Said hampir lemas. Fatimah tidak senang melihat suaminya dikasari lalu cuba masuk campur. "lepaskan suamiku. Dia bukan seorang hamba. Dia bebas memilih agama yang disukainya!" Fatimah mula menjerit.
Fatimah cuba melepaskan suaminya daripada dikerjakan oleh abangnya. Tiba-tiba, lembaran Al-Quran yang disembunyikan oleh Fatimah di dalam poket jubahnya terkeluar. Suasana menjadi tegang. Fatimah berusaha mengambilnya semula apabila abangnya cuba mencapai. "Ini adalah lembaran kitab yang mulia. Hanya dapat disentuh oleh orang yang suci sahaja!".
Kata-kata Fatimah membuatkan kemarahan Umar kembali membuak-buak. Dirampasnya lembaran di tangan adiknya dengan kasar. Said dan Fatimah tidak dapat mempertahankan lagi. Lembaran al-Quran berada di tangan Umar.
Perlahan-lahan Umar membuka lembaran itu dan membaca apa yang tertulis di atasnya. "Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang".
Bergetar tangan Umar ketika dia membacanya. Degup jantungnya semakin kencang. Umar jadi tidak menentu. Dia segera menyerahkan semula lembaran mulia itu kepada Fatimah. "Tidak!Aku tidak mahu membacanya!Aku tidak mahu membacanya".
Melihatkan kemarahan Umar semakin reda, Fatimah memberanikan diri dan memainkan peranannya menyusun kata. "Bacalah. Fahamilah apa yang terkandung dalam ayat ini".
Umar tidak berkata apa-apa mahupun membantah. Tenungan matanya tidak setajam tadi. Fatimah mendekati abangnya. "Semoga Allah melembutkan hati abangku dan mengurniakan petunjukNya".
Perlahan-lahan Umar membuka semula helaian yang dihulurkan oleh adiknya. Bibirnya berbisik membaca. "Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha penyayang. Kami tidak menurunkan al-Quran ini supaya kamu mendapat kesusahan. Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang taat kepada Allah. Diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu tuhan yang maha pemurah yang bersemayam di atas Arasy. Miliknya semua yang ada di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang ada di dalam tanah".
Cahaya wajah Umar mula bersinar. Tidak kelihatan lagi wajah bengis umpama singa lapar seperti mula-mula dia masuk ke rumah Said. "Alangkah indah dan manisnya ucapan ini. "Alangkah agungnya Tuhanmu!" Umar memuji.
Umar membacanya sekali lagi dengan rasa rendah diri dan kelembutan hatinya. Fatimah mendekati suaminya. "Nampaknya cahaya petunjuk mula meresap ke dalam hatinya."
Semasa pemerintahan Umar sebagai pemimpin Islam yang menggantikan Abu Bakar, Said bin Zaid yang dikenali sebagai Abul A'waar dilantik sebagai pemerhati bersama anak Umar, Abdullah bin Umar. Said bin Zaid hidup sehingga berusia 73 tahun. Dia meninggal di Madinah. Namanya tercatat dalam senarai sepuluh orang yang dijamin syurga.
- Dipetik dari buku Indahnya Cinta Kisah-kisah Kekasih Allah.