SENTIASALAH BERSANGKA BAIK



Umpama Memamah Daging Saudara سندر



Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik dengannya. (Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani."


     Ayat al-Quran ini mengandungi tiga wasiat penting kepada orang yang beriman iaitu larangan bersangka buruk sesama manusia, larangan mengintip dan mencari keaiban orang serta larangan mengumpat.
Ayat ini membicarakan asas dan kaedah pendidikan dan hubungan dalam masyarakat  demi mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni. Oleh sebab itu, anggota masyarakat perlu menghormati serta memelihara kemuliaan anggota masyarakat yang lain. Larangan-larangan yang telah dikemukakan dalam ayat di atas bertujuan membina kehidupan masyarakat atas dasar hormat-menghormati antara satu sama lain.

     Penggunaan kiasan dalam ayat di atas merujuk kepada perbuatan mengumpat yang diharamkan. Perbuatan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging  saudara yang telah mati. Menurut Imam       al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulum al-Din, mengumpat ialah perbuatan  menyebut kekurangan atau keaiban orang lain  yang tidak disukainya sama ada kekurangan itu ada pada tubuh badan seseorang, keturunan, tingkah laku, perbuatan, perkataan, agama, dunia, baju, rumah, kenderaan atau lain-lain.

     Dalam erti kata lain, mengumpat ialah perbuatan menceritakan suatu keaiban orang lain  walaupun apa yang diceritakan itu sesuatu yang benar, ia termasuk dalam kategori mengumpat kerana telah mendedahkan keaiban orang. Manakala menyatakan sesuatu yang tidak benar ialah fitnah.






Muflis???
     Ajaran Islam amat menitikberatkan hubungan manusia dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan manusia sesama manusia (hablumminannas). Sikap suka mencari keaiban orang lain, bersangka  buruk sesama manusia dan tabiat mengumpat, jelas akan mencemarkan konsep hablumminannas yang sangat ditekankan itu. Akibatnya, persaudaraan  yang diwajibkan dalam Islam dan persahabatan yang terjalin semakin rapuh.

     Bukan itu sahaja, seseorang yang tidak menjaga hablumminannas dengan baik, ia akan menjadi seorang yang muflis di akhirat nanti. Hal ini, telah dijelaskan melalui sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Tirmizi.

     Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tahukah kamu siapakah dia orang yang muflis?" Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang yang muflis antara kami ya Rasulullah ialah orang yang tidak mempunyai dinar dan dirham (ringgit) dan tiada harta benda."
Nabi s.a.w. seterusnya bersabda: "Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa solat, puasa, dan zakat, sedangkan datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu,memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil amalan kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu. Kemudian apabila habis amalan kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula kesalahan-kesalahan orang yang dianiaya serta ditimpakan ke atasnya. Kemudian ia dihumban ke dalam neraka."

     Hadis ini menjelaskan dengan terperinci betapa kesalahn sesama manusia akan menghumbankan seseorang itu  ke dalam neraka. Sehubungan dengan itu, perbuatan mengumpat dan seumpamanya termasuk dalam kategori kesalahan sesama manusia yang wajib dijauhi dan dihindari.






[ SOLUSI ]





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...