Akibat Melakukan Hubungan Seks Ketika Haid

Pengharaman Seks Semasa Haid
Islam mengharamkan melakukan hubungan seks antara suami dan isteri ketika waktu haid. Hukum ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala didalam firman Nya yang bermaksud:“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu adalah kotoran dan mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah 2:222)

Didalam Hadis Nabi Muhammad s.a.w banyak memperkatakan hal ini, diantaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.” (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)

Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum si isteri menyempurnakan mandi wajib terlebih dahulu, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.“



Kajian Mengenai Bahaya Seks Ketika Haid

Melakukan hubungan seks ketika haid mempunyai banyak risiko, menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Diana Antoniskis (MD)dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan (The Research And Education Group) yang beribu pejabat di Oregon, dalam artikel yang bertajuk Women With HIV Infection, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan.

Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control And Prevention) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans yang diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995 melaporkan,menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian farajadalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita.

Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haidmeningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita diChester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa.

Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996. Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat.

Risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovaridilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina.

Ketika wanita itu didalam keadaan haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya apabila berlaku persetubuhan pada waktu itu.

Oleh yang demikian, hukum pengharaman persetubuhan ketika haid oleh agama Islam adalah amat baik kerana ia mendatangkan banyak manfaat dari sudut kesihatan. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang diantara suami isteri bergurau senda dan bergaul mesra semasa haid, asalkan perbuatan itu tidak membawa kepada persetubuhan.

Menurut Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya oleh Masruq bin Ajdak,“Apakah yang boleh dilakukan oleh suami semasa isterinya sedang dalam keadaan haid?”Lalu Aisyah menjawab, “Apa-apa sahaja kecuali bersetubuh.” (Hadith Sahih Bukhari)

Wallahu’alam….
Rujukan: Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria) Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. dan Penulis bagi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...