Kisah Ashabul Qaryah

Dalam Tafsir Azhar, karya Prof Hamka, jilid 8 tafsir Surah Yaasin, beliau ada menceritakan keyakinan beliau terhadap hadis Nabi yang memberi saranan agar membaca Surah ini kepada manusia yang menghadapi sakaratul maut. Beliau pernah berjalan melalui suatu wad hospital pada tahun 1976, di mana seorang yang sedang nazak hanya ditangisi oleh ahli keluarga tanpa sebarang bacaan Surah Yaasin. Si pesakit nazak selama 24 jam. Beliau telah membaca Surah Yaasin kepada si pesakit sehingga pada ayat-ayat terakhir sahaja, si pesakit mulai melepaskan nafas secara lembut. Inilah kelebihan Surah Yaasin sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ma'qil Bin Yasaar.

Surah Yasin adalah sumber motivasi kepada kita.

Tahukah bahawa saban minggu kita sebenarnya mengulangi kisah sedih empat orang hamba Allah yang diseksa, dibunuh dan dipenjara oleh penduduk zalim suatu ketika di bumi Syiria hari ini. 

Allah menceritakan kepada kita dalam Surah Yaasin ayat 13 dan 14;

[13] Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, iaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada mereka;

[14] (iaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian Kami kuatkan dengan (UTUSAN) YANG KETIGA, maka ketiga utusan itu berkata: "Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus kepadamu".



Daripada riwayat-riwayat yang diambil dari Ibn `Abbas, Ka`b Al-Ahbar dan Wahab bin Munabbih, Ibn Ishaq menceritakan bahawa kota itu adalah kota Antiakah yabng kini digelar Antioch, di mana terdapat raja bernama Anticus bin Anticus Bin Anticus (3 generasi nama yang sama) yang menyembah berhala-berhala purba. Antiokah (Antioch) pada asalnya berada dalam wilayah Turki semasa Empayar Uthmaniyah tetapi terlepas kepada Syiria semasa Perang Dunia I.

Jika anda membaca Tafsir Jamal dan Tafsir Baidhawi (Sheikh Abd Rauf Fansuri), peritiwa ini dikatakan berlaku di Rom. Hal ini perlu kifa fahami istilah Rom di sini bermakna Rom Timur iaitu wilayah Antakiyah pernah berada dalam wilayah Empayar Rom Timur sejak ia berpusat di Constantinopel.

Allah mengirim tiga utusan (Rasul), yang bernama Saiq, Saduq dan Nabi yang ketiga bernama Shalom. Terdapat juga riwayat yang mengatakan bahawa nama mereka adalah Syamu'n (Samson) dan Yohana dan pembantunya bernama Paulus. Dalam Bahasa Arab nama itu disebut Syamu'n, Juhana dan Baulush. Akan tetapi riwayat kedua ini lebih kepada khabar yang diriwayat daripada kaum Kristian yang terdapat dalam New Testement (Bible).

Dalam kitab Muqasyafatul Qulub karangan Imam Ghazali ada menceritakan bahawa Rasulullah SAW berkumpul pada bulan suci Ramadan. Di dalam usrah itu Rasulullah SAW bercerita mengenai Nabi Allah SWT bernama Syamu'n . Rasulullah SAW menggelarnya Sam'un Ghazi. Nabi Syamu'n as tidak diceritakan langsung dalam al-Quran namun nama baginda pernah diriwayatkan di dalam kitab Qisasul Anbiya'(kisah para Nabi). Dalam kitab lama tersebut menceritakan bagaimana Rasulullah SAW tiba-tiba tersenyum sehingga mengundang rasa pelik para sahabat. Lalu seorang sahabat bertanya Rasulullah SAW ; "Mengapa anda tersenyum wahai Nabi Allah?"

Rasulullah SAW segera menjawab ; Aku diperlihatkan pada hari kiamat di Padang Masyhar, seorang Nabi dengan membawa pedang yang tidak mempunyai pengikut walau seorang pun, kemudian masuk ke dalam syurga. Baginda adalah Syamu'n (Samson) .

Menurut pandangan ajaran Yahudi, Nabi Syamu'n bukanlah seorang Nabi sebaliknya hanya Qadhi (Hakim) besar mereka yang dikaitkan dengan kisah Samson and Delaila.

Menurut kajian ahli sejarah, peristiwa kehadiran Nabi ke tanah Antakiah berlaku pada 39 Masihi. Malah sejarawan Kristian yakin bahawa kehadiran utusan tersebut adalah untuk menyebarkan ajaran Nasrani yang diketuai oleh Barnabas dan Paul. Jika benar Barnabas diutuskan ke bumi Antakiyah demi menyebarkan ajaran tauhid, kemungkinan ada logiknya kerana hingga kini ajaran Barnabas dikaitkan dengan ajaran uni-tuhan iaitu ketuhanan tunggal yang mengekalkan ajaran asal Nabi Isa AS.

Namun begitu, ajaran kredibiliti Paul pula diragui kerana beliau di antara individu yang sanggup mencampur aduk ajaran Nasrani asal dengan ajaran paganisme (penyembahan berhala) sewaktu membawa Nasrani masuk ke Tamadun Rom suatu ketika dahulu. Jelas kontradiksi ajaran berlaku dan kita sebagai muslim meragui nama-nama yang Kristian nyatakan melainkan yakin bahawa ada utusan untuk menyebarkan ajaran Allah sahaja ke Antakiyah.

Sumber yang mengatakan bahawa salah seorang Rasul tersebut adalah Paul adalah daripada Ibnu Juraij (Ben Gregorius). Ibnu Juraij lahir dari sebuah keluarga dengan tradisi Kristian. Keturunannya bernama Gregorius (dalam bahasa Arab disebut Juraij) adalah bangsa Romawi yang beragama Kristian. Bapanya bernama Abdul Aziz, telah memeluk Islam dan merupakan seorang ulama. Menurut Imam Ahmad, beliau dikatakan individu pertama menulis kitab agama. Beliau banyak meriwayatkan hadis dan wafat pada 767 M. Ibnu Juraij sangat dekat dengan tradisi keilmuan Kristian kerana keturunan keluarga beliau. Mungkin pengaruh ini menyebabkan beliau menafsirkan bahawa salah satu dari ketiga utusan tersebut adalah Paul.

Bagi utusan yang bernama Barnabas pula beliau adalah Yusuf dan dipanggil Barnabas oleh para Rasul (menurut sumber Kristian). Makna Barnabas adalah "anak artis seni". Barnabas adalah orang Yahudi dari keturunan suku Lewi yang berasal dari Cyprus. Barnabas pertama kali berjumpa dengan Paul (Paulus) ketika Paul berkunjung ke Baitul Maqdis. Bersama dengan Paulus, Barnabas diutus oleh pembesar Nasrani di Antokiah untuk memberitakan Injil kepada orang-orang bukan Yahudi. Kemudian Yohanes (Juhana) ikut bergabung bersama mereka untuk memberitakan Injil ke Cyprus.

Berbalik kepada kisah dakwah 3 Rasul tadi, peristiwa ini dikatakan berlaku sekitar 9 tahun selepas Nabi Yahya dibunuh oleh Raja Herod II di Palestin. Raja Herod II adalah anak kepada Raja Herod Agung yang mencintai anak saudaranya sendiri iaitu anak kepada Aristobulus IV serta tidak dapat menerima fatwa larangan mengahwini anak saudara yang dikeluarkan oleh Nabi Yahya.

Perhatikan pula sikap penduduk Antakiah apabila menerima dakwah;

[18] penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya Kami merasa nahas dan malang Dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas Yang kamu katakan itu), tentulah Kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya". (Yasin :18)

Dalam ayat ke-18 ini, jelas kita melihat sikap kaum yang menolak kebenaran akan cuba mencari 1001 alasan dan hujah untuk meletakkan kesalahan kepada para pembawa kebenaran. Hari ini juga kita melihat serba banyak kepayahan, tekanan dan fitnah yang dituduh kepada pendakwah dan pembawa kebenaran. Mereka dipulau, dituduh pemecah belah masyarakat, tuduh sebagai pengganas dan ortodoks serta bermacam-macam lagi tuduhan yang kedangkala jauh daripada akal minda yang sihat. Kaum Antakiyah menyelar para utusan Allah dengan mengaitkan kepayahan mereka (mungkin bencana alam, kerugian hasil tanaman dan sebagainya) dengan kehadiran para Nabi yang kebetulan serentak dengan musibah yang dihadapi mereka.

Bagi pandangan Prof Hamka dalam ulasannya, beliau kurang bersetuju jika Nabi yang diutuskan itu daripada kalangan pengikut Nabi Isa kerana ada kalimah 'arsalna' iaitu Kami utuskan yang merujuk kepada utusan Allah. Bermakna ia mungkin adalah Nabi yang selain pengikut Nabi Isa malah Nabi-Nabi yang tidak diketahui namanya sejajar dengan ayat Allah;

[78] dan Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada Yang Kami ceritakan perihalnya kepadaMu, dan ada pula di antaranya Yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan Dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa Yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum Dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang Yang berpegang kepada perkara Yang salah. (Mukmin : 78)

Dianggarkan bahawa Nabi dan Rasul masing-masing berjumlah 124,000 dan 312 orang. Namun, yang wajib diimani oleh umat Islam hanya seramai 25 orang sahaja. Ia dimulai dengan Nabi Adam as dan diakhiri dengan junjungan besar kita, Rasulullah SAW.

Dari Abu Zar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika ditanya tentang jumlah para Nabi, "(Jumlah para Nabi itu) adalah seratus dua puluh empat ribu (124,000) Nabi." "Lalu berapa jumlah Rasul di antara mereka?" Beliau menjawab, "Tiga ratus dua belas(312)" 

(Hadith riwayat At-Tarmizi)

Bagi dakwaan yang menyatakan tiga Rasul tersebut adalah hawariyun Nabi Isa as (pengikut Nabi Isa) ditolak sepenuhnya oleh Ibnu Kathir kerana bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang pernah menyatakan bahawa tiada 'Rasul' diutuskan di antara keRasulan Isa as dan baginda Rasulullah SAW. Barangkali 3 utusan yang merupakan murid Nabi Isa tersebut berlaku di Antakiyah tetapi ia bukannya merujuk kepada kisah yang diceritakan dalam Al Quran sendiri. Kemungkinan peristiwa ini berlaku di tempat lain. Bagi mengaitkan pendangan Prof Hamka dengan Ibnu Kathir sendiri, jelaslah para Rasul yang diutus ini bukanlah mengikut syariat Nabi Isa memandangkan tiada Rasul antara period masa Nabi Isa-Nabi Muhammad. Mereka adalah Rasul sebelum Nabi Isa AS.

Kemudian selepas sahaja dakwah para Nabi tersebut diejek dan dimaki oleh para penduduk Antakiyah, datang pula seorang pemuda yang menjadi saksi kepada ajaran tauhid para Nabi berkenaan. Beliau adalah seorang pemuda yang tidak berfoya-foya serta baik akhlaknya di kalangan mereka. Allah berfirman;

[20] dan (semasa Rasul-Rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-Rasul itu (Yasin:20)

Menurut Tafsir yang disampaikan oleh Ibnu Ishaq dari Abdullah bin Masu'd RA, bahawa setelah datang pemuda daripada hujung bandar (kampung) tersebut, beliau dipijak beramai-ramai sehingga terkeluar isi perutnya. Ibnu Ishaq menafsirkan kejadian ini bagi ayat Surah Yasin yang ke-26, si pemuda telah dibuka hijab sehingga nampak syurga yang dijanjikan kepadanya. Beliau berkata 'laita' yang bererti alangkah sayangnya atau alangkah ruginya kepada kaumnya sewaktu beliau hampir nazak.

Prof Hamka memetik pandangan Wahab Bin Munabbih dan Ka'bul Ahbar mengatakan bahawa nama pemuda tersebut adalah Habib dan bekerja sebagai penenun sutera. Manakala riwayat Ikrimah mengatakan pekerjaan Habib adalah tukang kayu (an najar) kerana itulah beliau terkenal dengan nama Habibun Najar.

Prof Hamka juga cuba mengaitkan kisah ini dengan kejadian letusan gunung berapi di Pompei Itali yang berlaku pada 78 M. Gunung Vesuvius dikatakan meletup dengan bunyi yang amat kuat sehingga memekakkan telinga penduduknya. Pada tahun 1748 M, masyarakat Eropah menjumpai banyak mayat-mayat mangsa dalam keadaan bersalut batu larva yang keras. Keadaan mereka cukup aib dalam keadaan melakukan hubungan sejenis lelaki dan berfoya-foya semasa kejadian berlaku. Ini menunjukkan peristiwa ini letupan kuat berlaku secara kilat dan mendadak.

[28] dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.

[29] (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan Dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka Dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.

Daripada ayat 28-29 Surah Yaasin ini jelas menunjukkan mereka terdengar bunyi pekikan sekali yang amat kuat (soihatan wahidatan) sehingga mati secara serentak (khamidun). Dalam beberapa tafsiran ulama' ada menyebut bunyi tersebut adalah pekikan Malaikat Jibrail AS. Walau apapun fakta sejarah yang ada, jelas bahawa Allah mampu memusnahkan sesuatu kaum hanya dengan sekali tindakan tanpa menghantar bala tentera yang ramai.

Pemuda yang melihat syurga semasa nazaknya adalah contoh kepemudaan yang perlu menjadi idola para remaja hari ini berbanding hari ini kelekaan dengan kelazatan hiburan menyebabkan jiwa pemuda menjadi barah yang bakal merosakkan ummah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...