☛ Rohingya : Malapetaka Yang Tiada Kesudahan Akibat Ketiadaan Daulah Khilafah ☚








Sekali lagi, salah satu daripada penduduk dunia yang paling ditindas sedang berdepan dengan penyeksaan dan kezaliman. Umat Islam minoriti Rohingya telah diserang, dibunuh dan rumah-rumah mereka dibakar oleh penduduk majoriti Buddha di Myanmar kerana seorang wanita Buddha mendakwa telah dirogol oleh orang-orang Rohingnya. Kekejaman yang berlaku ini sudah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk Rohingya di Myanmar kerana mereka menghadapi kezaliman, ancaman, ugutan dan penyeksaan daripada pendududk Buddha, tentera Myanmar dan pihak keselamatan setiap hari.

Kekejaman ini mula berlaku ketika mana kepimpinan junta Myanmar telah mula beransur-ansur kembali ke pangkuan dunia setelah bertahun-tahun dipulaukan oleh masyarakat dunia. Sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah ditamatkan apabila negara tersebut telah mula bergerak ke arah sistem pemerintahan demokrasi. Pihak junta mahu membuktikan kepada dunia bahawa mereka boleh mengendalikan negara mereka yang terdiri daripada pelbagai jenis penduduk etnik di Myanmar. Barat sedang menunggu untuk membuka sempadannya dengan Myanmar dan para pelabur telah mula meninjau keadaan di Myanmar selepas bertahun-tahun diperintah oleh rejim tentera. Myanmar adalah merupakan salah satu batu loncatan bagi Amerika Syarikat untuk menghalang China daripada menjadi kuasa utama dunia, yang mana ia telah melindungi dan menyokong junta tentera di Myanmar selama bertahun-tahun lamanya. Terdapat banyak kumpulan etnik yang diiktiraf (keberadaannya) di Myanmar tetapi malangnya kaum Rohingya bukanlah salah satu daripada mereka. Rejim Myanmar sememangnya ingin menamatkan keganasan dan rusuhan kerana ini akan menakutkan dan menjauhkan para pelabur serta membantutkan usaha-usaha ke arah sistem pemerintahan demokrasi. Halangan liputan media wujud di kawasan-kawasan di mana umat Islam Rohingya menetap di wilayah Rakhine.

Suatu tindakan yang amat memalukan daripada insiden ini adalah bagaimana kerajaan Bangladesh melayan saudara-saudara mereka di kalangan Muslimin dan Muslimat dari Myanmar. Sejak keganasan meletus di wilayah Rakhine, ramai kaum Muslimin Rohingya telah melarikan diri dengan menaiki kapal dan belayar ke Bangladesh yang merupakan negara jiran Myanmar. Apa yang dapat disaksikan setelah tiba di perairan Bangladesh, kaum Muslimin Rohingya tidak diberikan perlindungan dan keselamatan oleh saudara-saudara semuslim mereka. Sebaliknya, arahan telah dikeluarkan oleh kerajaan Bangladesh supaya kesemua Muslim Rohingnya dihantar pulang semula ke laut menuju ke Myanmar, kembali kepada tempat kezaliman dan keganasan mereka. Kebanyakan kapal-kapal tersebut dipenuhi oleh wanita dan kanak-kanak yang belayar selama 9 jam dan tidak mempunyai makanan dan minuman yang mencukupi. Kapal-kapal tersebut telah diarahkan supaya belayar semula ke laut. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Bangladesh adalah sama sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan Thailand beberapa tahun lalu apabila kaum Muslimin Rohingya ingin meminta suaka politik di sana. Berkaitan insiden ini, Menteri Luar Bangladesh, Dipu Moni memberitahu wartawan bahawa: “Kami tidak mahukan pelarian baru yang datang dari Myanmar”.

Peristiwa ini dengan jelas telah menunjukkan niat dan sikap sebenar kerajaan Bangladesh bahawa mereka langsung tidak mengambil peduli tentang keadaan umat, sebaliknya mereka terus mempertahankan dan melindungi sempadan palsu yang melingkari negara mereka. Apa yang menarik dalam hal ini adalah kerajaan Bangladesh sanggup untuk membelanjakan banyak sumber dan tenaga mereka bagi memastikan bahawa sempadannya dengan Myanmar terjaga berbanding dengan nilai nyawa umat Islam Rohingnya. Pada masa yang sama, kerajaan Bangladesh juga tidak berhati-hati atau tidak meningkatkan keselamatan sempadannya dengan India di mana ramai kaum Muslimin Bangladesh telah ditembak, dibunuh dan dicabul oleh pihak keselamatan India. Sikap yang berbeza yang ditunjukkan oleh kerajaan Bangladesh apabila berhadapan dengan India telah menzahirkan sikap dwistandard dan hipokrasi kerajaan Bangladesh.

Di dalam Islam, kita mempunyai konsep persaudaraan sesama umat. Kita mengetahui konsep ini kerana ia merupakan sebahagian daripada jiwa kita. Islam telah mentakrifkan bagaimana sepatutnya kita memandang konsep kesatuan dan persaudaraan sesama umat:

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

"Sesungguhnya sesama Mukmin itu adalah bersaudara" [TMQ Al-Hujurat (49) :10]

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

وَإِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ

"Dan sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Maka bertaqwalah kepada Aku." [TMQ Al-Mu'minun (23) :52]

Rasulullah (SAW) صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Seseorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Ia tidak akan mezalimi saudaranya dan tidak akan membiarkannya dizalimi oleh orang lain." [HR Muslim].

Islam menetapkan bahawa seseorang Muslim sekali-kali tidak boleh mengabaikan Muslim yang lain. Disebabkan kita mempunyai ramai pemerintah yang tidak ikhlas yang sedemikian rupa, kita dapati bahawa kuasa-kuasa asing menggunakan perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam ini untuk memenuhi agenda mereka.

Semoga Allah menyatukan semula umat Islam ini menjadi satu badan, yang mana dengannya ia akan menamatkan penjajahan ke atas tanah-tanah umat Islam, menamatkan penindasan yang dilakukan oleh para pemerintah umat Islam serta yang dilakukan oleh kuasa-kuasa asing.
 








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...