APA KATA HATI?

"Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan''
                                                                                                                                      -Imam  Syafie- 


Merawat Hati yang Rosak

     Hati atau roh adalah raja dalam 'kerajaan diri'. Justeru, hati perlu menjadi sasaran pendidikan kita. Gagal mendidik dan membaiki hati bererti gagal mendidik dan memperbaiki manusia. Hati mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Apabila akal menjadi penasihat, maka hati pun baik. Apabila nafsu menjadi penasihat, maka raja di dalam diri manusia itu juga menjadi jahat.

     Apabila hati jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Sebaliknya, apabila hati baik, baiklah seluruh anggota badan. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, baiklah seluruh aggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya itulah hati".



Hati Sebagai Raja

     Hati sebagai raja dalam kerajaan diri mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir(yang ada). Dia adalah raja yang luar biasa, yang ditaati oleh rakyatnya. Malaikat memimpin  hati dengan benda yang datang daripada Allah. Syaitan pula memimpin hati  dengan benda yang datang daripada iblis.

     Walaupun hati manusia cuma satu, tetapi kerana pelbagai rangsangan datang, maka timbullah pelbagai rasa dan kesedaran. Contohnya, apabila berjaya, hati menerima rangsangan. Dia akan berasa  sama ada bangga, riyak, ujub atau ego  dengan kejayaan itu, ataupun rasa syukur dan dalam masa yang sama berasa malu kepada Allah. Pada waktu itulah hati ini akan sedar. Sesungguhnya, ia terpulang kepada setiap individu.

     Jika hati tidak sedar dia sudah berbuat baik, ia adalah sifat terpuji kerana tidak berbangga-bangga dengan kebaikan  itu. Tetapi, jangan pula sampai hati tidak bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya juga kita dapat membuat kebaikan. Perkara paling buruk ialah apabila hati tidak sedar ia jahat. Hati tidak sedar, rangsangan yang datnag membuatkan ia rasa bangga dan ego.

     Lebih berbahaya apabila hati yang jahat disedari sebagai hati yang baik. Tuan empunya hati tidak sedar kejahatannya sampai bila-bila dan tidak cuba berubah dengan bertaubat. Bahkan terus berbuat jahat kerana merasakan dirinya dalam kebaikan. Rasa hati adalah atau boleh diibaratkan seperti  benih yang ditanam oleh Allah kedalam hati manusia. Cuma sama ada ia subur ataupun terbantut, bergatunglah pada usaha manusia itu sendiri.

     Contohnya, dalam sebuah kebun, benih jagung sudah ditanam. Terpulanglah kepada petani untuk menyiram, membaja dan menjaganya. Sekiranya benih itu baik, tetapi tidak dijaga, mungkin ia mati sebelum tumbuh ataupun terbantut. Begitu juga dengan hati. Fitrah baik manusia apabila tidak disuburkan dari awal, kemungkinan mati akhirnya. Sebaliknya, jika awal-awal lagi sudah disuburkan, ia akan berakar umbi dalam hati sehingga mudah hati itu menjadi baik. Apabila sudah terlewat baru hendak disuburkan, agak sukar kerana ia umpama benih terbiar lama tanpa disirami, dibajai dan dijaga.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...