WALAU SEKECIL ZARAH

WALAU KECIL

     Kita selalu menganggap bahawa sesuatu yang "kecil" sebagai sesuatu yang remeh dan tidak mendatangkan apa-apa kesan jika melakukannya, baik ia berupa kebaikan ataupun keburukan. Mungkin kita lupa bahawa sesuatu yang besar itu diawali oleh sesuatu yang kecil.

     Ada ketikanya amal kebaikan yang kecil, yang hanya dipandang sebelah mata, diberi penghormatan besar dan keselamatan bagi kebaikan manusia. Ada ketikanya pula, amalan yang hebat itu dibangga-banggakan, malah menjadi sebutan dan pujian ramai, tetapi tidak memberi manfaat, bahkan kadang-kadang mengundang fitnah pula.

     Demikian juga peringatan daripada Rasulullah s.a.w. agar tidak memandang remeh sesuatu dosa, sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, kerana jika berkumpul dalam diri seseorang ia akan dapat membinasakannya". (Riwayat Ahmad dan al-Tabrani)

KISAH DARIPADA RASULULLAH S.A.W.


     Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling(bergembira) di dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia". (Riwayat Muslim)

     Ia mengenai kisah seorang lelaki yang sedang melalui jalan yang biasa digunakan oleh kaum Muslimin. Ketika melewatinya, dia melihat sebatang dahan yang berduri dan bergayut seakan-akan hampir jatuh. Bimbang apabila memikirkan dahan itu akan menimpa orang ramai, lelaki itu berusaha memotong dahan tersebut dan menjauhkan dari jalan. Oleh kerana tindakannya itu, Allah s.w.t. mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga. Dia menikmati kemewahan dan kesenangan yang tiada bandingannya.

     Mulianya seseorang itu dilihat pada amal soleh dan kebaikan yang dia lakukan, walau di mana dan dalam apa-apa keadaan sekalipun. Semakin banyak kebaikan yang dilakukan, maka semakin tinggilah nilai kemuliaannya. Sebab itulah Allah menggalakkan kita supaya berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan sebagaimana maksud firman-Nya:
     "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya(sendiri) yang ia menghadap kepada-Nya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu". (Surah al-Baqarah 2:148)

WALAU SEBESAR ZARAH


    Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan)nya pula". (Surah al-Zalzalah 99:7-8)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...